Pasangan suami isteri dari China ini telah membuktikan bahawa cinta sejati tidak mementingkan paras rupa semata-mata sebaliknya hati yang suci dan tulus mencintai serta sanggup menerima pasangan seadanya.
Lin Zhouqiang, 23 tahun dan isterinya Xu Qinqin, 21 tahun telah mencuri perhatian jutaan rakayat China dengan kisah cinta sejati mereka.
Menurut satu laporan dari China, Qinqin sentiasa dipulaukan oleh jiran tetangga, rakan sekerja malahan ahli keluarganya sendiri disebabkan oleh kecacatan pada wajahnya. Namun, setelah bertemu dengan Zhouqiang, hidup Qinqin menjadi semakin bahagia apatah lagi apabila lelaki berkenaan dikatakan jatuh hati dengan kemuliaan hati Qinqin.
Pasangan ini tinggal di daerah Yuechi dalam wilayah Sichuan menarik perhatian ramai yang memberikan pelbagai reaksi positif dan negatif. Qinqin mula mengalami kecacatan wajah apabila hidung dan kawasan sekitar matanya digigit oleh tikus semasa baru berusia sebulan.
Ibunya, Lin Quangzhen yang mempunyai lima orang anak dikatakan telah meletakkan Qinqin di dalam bakul sebelum meninggalkannya untuk melakukan kerja-kerja di ladang.
Dua jam kemudian, anak sulungnya telah bergegas ke ladang dan memberitahu ibunya bahawa hidung Qinqin telah dimakan oleh seekor tikus dan mukanya dipenuhi darah. Walaupun nyawanya selamat, wajah Qinqin sudah rosak dan tidak boleh dipulihkan.
Ekoran daripada insiden ini, Qinqin terpaksa berhenti sekolah pada usia muda kerana tidak tahan dengan ejekan dan bulian rakan sekolah.
Semasa berumur 17 tahun, Qinqin telah berhijrah ke Guangzhou bagi mencari pekerjaan di kilang pakaian. Akan tetapi, Qinqin akhirnya telah berhenti kerja akibat tekanan yang dihadapi atas ejekan rakan sekerjanya.
Pada usia 18 tahun, Qinqin telah berkahwin dengan seorang lelaki yang dikenali atas bantuan saudaranya. Namun, mereka telah bercerai dua tahun kemudian.
“Setiap kali bergaduh, bekas suami dan keluarganya akan menggelar saya ‘si pelik’ dan meminta saya untuk pulang ke rumah”.
Semenjak peristiwa hitam yang sering terjadi dalam hidupnya, Qinqin bertindak memulaukan dirinya daripada masyarakat dan tidak mahu keluar rumah.
Melalui jaringan internet sahajalah yang membolehkan Qinqin berkomunikasi dengan dunia luar. Dari situ, Qinqin telah menemui suaminya. Setelah berkenalan, Qinqin telah berterus terang dengan Zhouqiang mengenai keadaan wajahnya namun perkara tersebut tidak langsung menggugat pendirian suaminya.
Bagi Zhouqiang, Qinqin adalah seorang wanita yang kuat dan sentiasa optimistik, baik hati serta periang. Disebabkan itu juga, dia jatuh cinta dengan Qinqin.
Kata Zhouqiang kepada wartawan tempatan, “Ini mungkin takdir. Saya tahu pengalamannya jadi saya betul-betul faham akan kehidupan yang pernah dilaluinya sebelum ini. Saya mengambil keputusan untuk mengahwini Qinqin setelah sebulan berkenalan dengannya”.
Pada tanggal 10 Februari, pasangan ini bertentang mata buat pertama kali dalam hidup mereka. Pertemuan ini telah membakar keazaman Zhouqiang untuk menjadikan Qinqin sebagai isterinya yang sah.
Keesokan harinya, Zhouqiang telah mengajukan niatnya kepada kakaknya yang ternyata membantah keputusan Zhouqiang untuk mengahwini Qinqin. Zhouqiang kemudiannya mengajak kakaknya untuk berjumpa dengan Qinqin dan melamar isterinya di hadapan kakaknya sendiri.
Keputusan Zhouqiang benar-benar mengejutkan ibu bapa dan jiran-jirannya. Namun begitu, dia tetap dengan keputusannya dan sanggup berdepan dengan segala kritikan bersama isterinya sehingga ke akhir hayat.
Sumber: Era Baru